Wednesday, November 17, 2010

The Little Red Riding Hood.

“Besarnya mata nenek”
“Supaya nenek boleh lihat kamu, sayang”
“Besarnya telinga nenek”
“Senang sikit nenek nak dengar apa yang kamu cakap, sayang”
“Tapi nenek, kenapa gigi nenek tajam?”
“Supaya aku boleh makan kau!!!”
Red Riding Hood terperanjat sekali apabila menyedari bahawa yang di atas katil tersebut bukan neneknya, sebaliknya adalah serigala yang ingin memakannya. Namun, belum sempat serigala tersebut menerkamnya, datang pemburu yang tidak tahu dari mana, memegang senjata untuk menyelamatkan Red Riding Hood. Serigala ketakutan dan terus melarikan diri. Red Riding Hood dan neneknya yang disembunyikan oleh serigala di dalam almari kini terselamat dari dimakan oleh serigala tersebut.
“Macam tu la kisahnya Red Riding Hood,” Cikgu Yati menamatkan ceritanya.
Semua murid tahun 2 Mawar teruja sekali mendengar cerita Cikgu Yati. Ada yang tepuk tangan, ada yang dah mula berangan dan macam-macam lagi. Tapi bagi aku, kisah ini tidak lebih hanyalah sebuah kisah dongeng tipikal yang berakhir dengan Happy Ending. Macam cerita Snow White, Cinderella, dan berpuluh-puluh lagi kisah dongeng barat yang aku penah dengar. Aku pun tak faham apa yang budak-budak lain seronok sangat. Ini kisah aku 17 tahun dulu. Bagaimana dengan 17 tahun kemudian?
*********************
Aku kini sudah berkhidmat di sebuah Kilang Elektronik di Ibu kota. Namun, setiap minggu, aku akan pulang ke kampung untuk menemani mak yang berseorangan memandangkan ayah pun sibuk dengan kerja-kerja kemasyarakatannya dan jarang berada di rumah terutamanya ketika hari minggu. Lagipun, kalau balik kampung, boleh rasa masakan mak yang lagi sedap dari masakan kedai mamak.
Kisahnya bermula ketika aku sedang duduk termenung di jendela. Bukan nak buat apa pun, Cuma nak ambil udara pagi sambil menyapa sang mentari pagi yang habanya suam-suam kuku. Tiba-tiba. Lalu seorang wanita membimbit buku, berjalan melalui rumahku. Aku terpana seketika melihat keayuannya berbaju kurung dan bertudung merah. Hatiku lantas berlagu……
Dia gadis bertudung merah,
Hatiku tergoda tergugah,
Tak cuma parasnya yang indah,
Dia baik dia solehah,
Dia gadis bertudung merah,
Bawalah diriku padanya,
Takkan habis ku berdoa,
Jadi kekasih halalnya….
“Apa yang kau memekak pagi-pagi ni, Iz? Buang tebiat ke ape?” tiba-tiba mak bersuara.
“Aik? Iz nyanyi dalam hati pun mak boleh dengar ke?”
“menyanyi dalam hati kau cakap? Sampai ke dapur mak dengar suara kau”
Oh, tanpa aku sedari, aku ‘ter’menyanyi dengan lidah, dan bukan hati. Dahsyat sekali aku berangan rupa-rupanya.
“Mak perasan tak budak perempuan yang selalu lalu depan rumah kita yang selalu bawak buku tu?” aku cuba mengalih pandangan mak agar mak dapat melupakan peristiwa yang memalukan aku sebentar tadi.
“Oooo… tak silap mak, yang tu cikgu sekolah menengah. Cucunya Tuk Lias yang duduk selang 3-4 buah rumah dari rumah kita ni.”
“Hujung-hujung minggu pun mengajar ke?”
“Alah kau ni. Sekarang ni macam-macam sekolah buat. Kelas tambahan la, kelas apa namanya tu…intensif?”
‘insentif, mak”
“Ha, kelas insentif. Macam-macam la lagi. Sekarang nak periksa dah dengar kata.” Sambung mak tanpa menyedari sedang dikenakan oleh aku. Aku hanya tersenyum. Bukan selalu dapat bergurau dengan mak. Seminggu cuma sekali.
“Ooooo. Tak tinggal ngan ayah ngan mak dia ke?” semakin ligat aku bertanya soalan.
“Mak ngan ayah dia ada kat bandar sana tu. Dia nak dekat ngan atuk dia katanya. Bagus budak tu. Walaupun belajar kat London, sanggup balik kampung mengajar kat sini sebab nak jaga atuk dia.”
“Wah, banyak betul mak tau pasal dia.”
“Habis, dah Mak Cik Kiah dot fm tu selalu datang rumah bawak macam-macam cerita. Semua la benda dalam kampung ni mak boleh tau.” Ujar mak selamba.
******************
Minggu berikutnya, aku pulang ke kampung lagi. Seperti biasa, aku lebih selesa berada di rumah pada waktu pagi sehingga tengah hari. Masuk sahaja petang, barulah aku akan berjumpa dengan rakan-rakan sekampung yang tidak keluar bekerja di Bandar. Aku masih selesa melepak bersama mereka. Walaupun berbeza profesyen, kami tetap kawan seperti dulu.
Sekarang baru waktu tengah hari. Bermakna, aku masih di rumah lagi. Kali ini aku duduk di tangga rumah pula sambil termenung. Memang sedari kecil, aku suka termenung. Tapi, menung bukan sebarang menung, termenung jauh memikirkan perancangan masa depan.
Sekali lagi cikgu bertudung merah lalu di depan rumahku. Tapi kali ini aku sedikit kecewa kerana ada lelaki yang lagak macam mat rempit bersamanya. Aku tak faham situasi sebenar yang berlaku. Nampak cikgu bertudung merah seperti tidak menyukai mat rempit yang seakan-akan ingin meng’ayat’nya. Tidak semena-mena, lelaki tersebut cuba memegang tangan cikgu bertudung merah yang aku dambakan sejak seminggu yang lalu dan cikgu itu menepisnya. Cikgu bertudung merah terjatuh.
“Ini sudah lebih.” Aku meradang tiba-tiba dan terus berlari ke arah lelaki tersebut lantas melayangkan flying kick tepat mengenai mukanya yang langsung tak kacak itu.
“Lu apsal mat? Tiba-tiba terajang gua?” Mamat tersebut panas dengan aku. Aku mencapai batang kayu berhampiran lantas menghalakan ke mukanya.
“Baik kau blah sekarang. Kalau tiba-tiba batang kayu ni hinggap kat muka kau jangan tanya kenapa.” Aku mengugutnya. Lelaki itu terus beredar dari situ dengan wajah yang nampak takut-takut.
“Pengecut jugak mamat ni, muka je rempit.” Desis hatiku.
Perhatianku beralih kepada cikgu yang sedang terduduk diatas jalan. Aku menghulurkan kayu tadi untuk menariknya bangun.
“Saya hantar cikgu balik. Rumah cikgu depan tu je kan?” hatiku berdebar saat memulakan bicara. Tapi aku cuba sedaya upaya untuk Nampak cool. Dia hanya mengangguk dan terus tunduk. Aku mendahuluinya dan dia berjalan di belakangku. Bagiku, kurang manis kalau aku yang berjalan di belakangnya atau berjalan beriringan dengannya.
******************
Malam itu aku sukar sekali untuk melelapkan mata kerana teringat peristiwa yang berlaku siang tadi. Aku memang betul-betul sukakan cikgu tersebut. Aku perlu cepat sebab kalau aku lambat, dia mungkin akan terus dikacau oleh lelaki-lelaki yang tak bertanggungjawab dan mungkin lebih dari itu lagi akan berlaku. Aku nekad untuk melamarnya.
Esoknya, sebaik matahari naik segalah, aku terus melangkah ke rumah Tuk Lias untuk menyatakan hajatku. Kebetulan, Tuk Lias sedang berjalan-jalan mengambil angin di laman rumahnya. Aku terus memberi salam.
“Assalamualaikum Tuk.”
“Waalaikum salam. Eh, kamu ni bukan anak Haji Salleh yang jadi imam minggu lepas ke?” Wah, ini sudah bagus. Tuk Lias pun perasan yang aku jadi imam menggantikan Imam Razak yang demam minggu lepas. Sahamku naik mendadak.
“Bagus la kamu ni. Sekarang susah nak cari anak muda boleh jadi imam. Bukan takat jadi imam, nak carik yang boleh mengaji pun dah susah.” Tuk Lias tiba-tiba mengomel. Aku hanya tersenyum diam. Sahamku semakin naik tinggi nampaknya.
“Tapi kamu baca surah panjang sangat. Lenguh lutut Tuk berdiri. Kamu kena la ingat jugak, yang jadi makmum kat kampung ni semuanya level-level Tuk je. Buatnya pengsan sorang-sorang tak ke naya?” pertama kali sahamku jatuh sedikit.
“Mintak maaf Tuk. Saya teruja sangat sebab first time jadi imam kat masjid.” Aku memberi alasan.
“Apa hajatnya tiba-tiba kamu datang sini? Nak jumpa Dina ke?” Tanya Tuk Lias. Tahu-tahu pula tujuan aku datang.
“Oh. Cucu Tuk nama Dina ke?”
“Haah, Dhiya Irdhina.”
“Oh. Tu la Tuk, berat jugak saya nak sampaikan. Tapi itu la hajatnya saya datang. Untuk menyempurnakan agama saya, saya nak la menyunting cucu Tuk menjadi suri hidup saya. Walaupun tak pernah kenal pun, tapi saya tak tahu kenapa saya yakin, dia adalah wanita yang baik dan solehah,” Tu dia, macam tak percaya aku yang cakap ayat macam tu. Tapi, kalau dah nak anak orang, kenalah pandai bagi orang tertarik dengan kata-kata kita.
“ Memang betul, dia memang baik dan solehah. Cuma Tuk nak tau la. Kamu ni bujang lagi ke tak?”
“Eh, mesti la bujang Tuk. Tengok la muka saya ni. Memang muka bujang la ni. Umur saya pun baru 25 tahun, takkan dah nak kahwin dua kot.”
“Bujang tu ada macam-macam jenis. Tuk pun bujang jugak. Bujang beranak empat, bercucu lapan. Hehehe,” Tuk Lias berseloroh.
“Oh. Saya bujang beranak tekak je Tuk,” balas aku.
“Hahaha. Lawak, lawak. Tuk ingat, lawak Tuk tadi dah lawak. Kamu lagi lawak rupanya. Hahaha.” Tiba-tiba Tuk tergelak besar. Sekali lagi aku hanya tersenyum.
“Tuk tak boleh nak cakap apa-apa. Minggu depan orang tua Dina nak balik kampung. Nanti Tuk telefon diorang bagi tau hal ni, minggu depan boleh la bawa keluarga kamu jumpa.” Kata-kata Tuk Lias memang menggembirakan aku. Tak ku sangka, orangnya selamba dan kelakar juga. Kini, aku sudah boleh memikirkan langkah seterusnya. Aku tak boleh berlengah lagi.
***************
Majlis kenduri aku dan Dina sudah selesai. Semua tetamu sudah pulang. Aku dan keluarga mertua juga baru sahaja selesai solat isya berjemaah. Aku keluar dan melabuhkan punggung di atas buaian di laman rumah . Kini aku sudah menjadi suami orang. Terasa berat tanggungjawab aku selepas ini.
“Boleh duduk sebelah, bang?” terdengar suara lembut Dina meminta izin menyertaiku di buaian.
“Duduk la,” ujarku ringkas.
Kami terdiam beberapa ketika. Mungkin masih kekok kerana kali pertama berpeluang berbual. Aku sendiri tidak menyangka bahawa pinangan aku di terima dengan mudah dan semuanya berlaku tanpa halangan yang besar.
“Abang tanya sikit boleh?” aku memulakan bicara.
“Tanya la,” balas Dina.
“Kenapa abang tengok Dina suka warna merah. Baju pengantin kita pun warna merah,” aku menyatakan rasa ingin tahu.
“Oh. Sebenarnya, dari kecil lagi, Dina memang suka watak Red Riding Hood. Watak tu memang nampak macam sentiasa patuh, dan sayangkan orang tua. Memang nampak menonjol la perwatakan dia dalam cerita tu masa dia bawak makanan untuk nenek dia. Sejak baca cerita tu, Dina rasa memang Dina nak sentiasa dekat dengan nenek supaya dapat tengok-tengokkan nenek bila dia dah tua. Tapi, nenek dah awal-awal lagi pergi sebelum Dina fly ke UK dulu. Cuma atuk yang masih ada dan siapa-siapa pun, bagi Dina, orang tua perlu Dina jaga dan tengok-tengokkan,” Cerita Dina panjang lebar.
“Oh, gitu. Tapi cerita Dina belum sama macam cerita Red Riding Hood yang betul, sebab takde pun serigala nak makan Dina. Hehe,” Aku cuba mengubah suasana feeling cerita Dina.
“Siapa cakap? Masa Dina di UK, ramai lelaki ajak Dina couple. Dina tak nak sebab Dina dah Nampak ramai kawan Dina yang dipegang, dan dipeluk oleh laki-laki yang tak bertanggungjawab ni. Lepas tu, bila dah bosan, tinggalkan. Bagi Dina, lelaki-lelaki macam ni sama macam serigala yang nak menerkam Dina bila dapat peluang. Alhamdulillah, Dina dapat jaga lagi sampai la Dina dah grade. Cumanya, hari yang abang selamatkan Dina tu, Dina memang dah jumpa serigala yang memang berani nak terkam Dina. Nasib baik ada ‘pemburu’ datang selamatkan Dina.”
“Hahaha. Pandai je Dina kaitkan cerita Dina dengan cerita tu ye?”
“Hehehe. Kebetulan je la abang. Dina dah tertarik dengan abang sebab abang langsung tak sentuh Dina masa abang tarik Dina bangun dan Abang tak pandang Dina langsung masa hantar Dina balik. Masa tu la Dina harap yang Dina akan jumpa lelaki macam abang satu hari nanti. Tambah-tambah pulak, bila atuk cerita abang jadi imam minggu sebelum tu, terus Dina mengharap abang masuk meminang Dina. Heheh.”jelas Dina panjang lebar.
“Dina bersyukur sangat sebab akhirnya, ada jugak pemburu yang datang selamatkan Red Riding Hood celup ni, walaupun dia bukan pemburu sebenarnya, tapi engineer.” Sambung Dina lagi.
“Abang pemburu jugak apa, pemburu cinta Illahi,” aku berseloroh.
“Adeh,” Tanpa aku sedari, penyepit ketam Dina pantas hinggap di bahuku. Sudah nasib badan, dapat bini suka mencubit. Berbintat-bintat la badan aku lepas ni.
Tak kusangka, aku juga sebenarnya mempunyai peranan dalam kisah The Little Red Riding Hood jelmaan Dina. Kisah yang aku anggap biasa 17 tahun lalu akhirnya benar-benar berlaku terhadap diriku. Cuma kisah yang ini berakhir dengan permulaan cinta antara Si Tudung Merah dan Pemburu, errr, ‘Pemburu Cinta Illahi’?

re-blog from groundkorea
pee-ass: everyone has their own fairytale :) eh eh, The Little Red Riding Hood fairytale ke?? Berfikir sejenak.

No comments: